Petua Larangan Orang-Orang Tua Bagi Ibu Hamil











Petua larangan bagi ibu hamil tidak terhad kepada amalan pemakanan sahaja. Mengikut kefahaman Melayu lama, parangan adalah meliputi segala aktiviti ibu dalam kehidupan seharian juga.

1. Pantang Tidur Waktu Rembang dan Senja

Ibu dilarang tidur pada waktu tengah hari, iaitu waktu rembang ketika matahari sedang tegak di atas kepala. Waktu rembang ini meliputi jangka masa antara pukul 12:00 sehingga sebelum masuk waktu zuhur. Tidur waktu senja juga dilarang keras, iaitu waktu yang memisahkan siang dan malam(maghrib)

Amalan tidur pada waktu-waktu tersebut dipercayai akan melemahkan kesihatan ibu, iaitu lemah urat saraf. Selain itu, ibu boleh mendapat penyakit murung dan bentuk fizikal kelihatan sembab akibat kemasukkan angin. Gangguan makhluk halus, sama seperti kerasukkan jin atau syaitan mudah berlaku jika ibu hamil tidur pada waktu rembang dan senja.

2. Pantang Mandi Senja

Ibu hamil sebaiknya mandi pada waktu pagi selepas subuh kerana dapat membantu perkembangan bayi, selain memberi kesegaran otot dan sendi. Mandi pada waktu senja di larang kerana akan melemahkan urat saraf serta tulang ibu, di samping menganggu perkembangan bayi dalam kandungan.

3. Pantang Makan Makanan Sejuk

Amalan pemakanan juga amat dititikberatkan, Ibu hamil dilarang minum minuman berais atau dari peti sejuk dan minuman bergas. Memakan nasi sejuk atau nasi yang di masak semalaman, walaupun dihangatkan dilarang kerana boleh menganggu urat saraf, melemahkan perkembangan janin dan memudaratkan kesihatan. Tanda-tanda gangguan kesihatan pada ibu ialah pembengkakan sendi atau kaki secara mendadak, berisi angin, dan seterusnya kurang cergas. Bayi juga membesar dengan sembab angin (kembang angin) dan keadaan ini akan menimbulkan masalah semasa kelahiran.

4. Pantang Duduk Di Bendul dan Anak Tangga

Ibu hamil dilarang makan sambil duduk berjuntai kaki di bendul rumah atau muka pintu sambil berbual dengan orang diatas tangga rumah. Mengikut kepercayaan tradisi, keadaan ini akan mengakibatkan kesukaran semasa melahirkan anak, iaitu berlakunya keadaan tersengkang atau tersekat di pintu rahim. Hal ini berdasarkan prinsip "kalau hendak turun, turun terus, kalau hendak masuk, masuk terus ke dalam rumah". Ia juga melambangkan apabila saat kelahiran, bayi mudah keluar tanpa sebarang masalah dan dapat dielakkan kejadian lekat uri atau uri susah untuk dikeluarkan dari perut ibu.

Perbuatan bersembang di anak tangga ditegah kerana mengikut kepercayaan tradisi, ibu akan mengalami tempoh sakit bersalin yang berpanjangan atau tempoh *mengisi ketuban yang lama. Anak tangga yang berderet melambangkan proses kelahiran mengambil masa yang panjang sehingga berhari-hari, yang dikenali sebagai "sakit meleret" atau "sakit melahuih"

5. Pantang Merasa Makanan dari Senduk

Merasa makanan yang mendidih terus dari senduk juga dilarang. Cara yang betul adalah dengan menyenduk kuah dan dituang ke dalam sudu untuk merasanya. Jika tidak, dikhuatiri anak yang bakal lahir bermulut besar, akan berbahasa kasar, bermulut celupar dan kata-katanya memanaskan hati orang yang mendengar dan boleh mendatangkan pertengkaran

6. Pantang Bersikat

Ibu hamil dilarang bersikat sambil melepaskan kusutan rambut rambut dengan cara mengerbangkan rambut lalu menyisirnya pada waktu malam. Dipercayai perbuatan tersebut akan menyebabkan tumpah darah semasa waktu bersalin kelak

Comments

Popular posts from this blog

Cara Penggunaan Set Bersalin Nona Roguy

Jinta Hitam @ Habbatus sauda

Info - Rawatan Urutan Tradisional